15 kes baharu positif Covid-19 di Sarawak

SARAWAK belum memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuching yang mencatatkan jumlah tertinggi positif pandemik Covid-19 di negeri ini ketika ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun berada dalam zon merah apabila mencatatkan 163 kes positif dengan lima kematian, situasi di Kuching masih terkawal.

Bagaimanapun katanya, jika ada keperluan untuk melaksanakan PKPD di Kuching atau kampung tertentu di kawasan bandar raya ini, kerajaan Sarawak mungkin akan melaksanakannya.

“Tetapi sekarang ini belum lagi…walaupun jumlah yang positif melepasi angka 40 orang, keadaan sebenarnya masih terkawal,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Abdul Karim yang mewakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media berkata, satu lagi korban pandemik Covid-19 berlaku di Sarawak, menjadikan jumlah kematian di negeri ini kini meningkat kepada sepuluh orang.

Beliau berkata, mangsa terbaharu itu seorang lelaki berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 4.16 petang, semalam.

“Kes dari Kampung Demak Laut dimasukkan ke HUS pada 30 Mac yang lalu dan disahkan positif Covid-19 pada 1 April lalu dan disahkan meninggal dunia petang semalam,” katanya.

Abdul Karim berkata, hari ini sebanyak 15 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan dan semuanya menerima rawatan di HUS, sekali gus menjadikan jumlah kes di Sarawak kini sebanyak 254 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan, selain dua Timbalan Ketua Menteri yang sedang menjalani kuarantin di rumah ketika ini, tiga lagi Menteri turut menjalani proses yang sama.

Dua Timbalan Ketua Menteri yang menjalani kuarantin di rumah itu ialah Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, manakala tiga Menteri pula ialah Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Utiliti, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Selain itu, seorang lagi anggota Kabinet Sarawak iaitu Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil serta tiga Ahli Parlimen Sarawak disahkan positif pandemik Covid-19.

Mengenai tangkapan ingkar PKP pula, Abdul Karim berkata, seramai 20 individu ditahan dalam tempoh 24 jam mulai 8 pagi semalam hingga 8 pagi hari ini menjadikan jumlah yang ditahan sepanjang penguatkuasaan PKP adalah seramai 401 orang.