1,456 individu ditempatkan di 22 pusat kuarantin di Johor

SERAMAI 1,456 individu termasuk pekerja Malaysia dari Singapura, kumpulan tabligh dan penuntut yang pulang dari Indonesia sedang dikuarantin di 22 pusat kuarantin di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, 80 stesen kuarantin di negeri ini sudah diwartakan kerajaan setakat jam 8 malam semalam.

“Daripada jumlah itu, 22 stesen kuarantin sudah diaktifkan dengan jumlah kapasiti yang boleh memuatkan 3,296 individu.

“Setakat ini, 1,456 orang sudah ditempatkan di 22 stesen terbabit,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan, 1,402 daripadanya dikategorikan sebagai Individu Dalam Pemerhatian (PUS) manakala 54 individu lagi dalam kategori Pesakit Dalam Siasatan (PIS).

“Seramai 1,161 individu terdiri daripada orang awam termasuk pekerja Malaysia di Singapura, 150 orang adalah daripada kumpulan tabligh manakala 145 lagi adalah penuntut yang pulang dari Indonesia,” katanya.

Mengulas lanjut, Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang berkata, kesemua 22 stesen kuarantin menempatkan 1,456 individu itu terletak di pelbagai lokasi di seluruh Johor.

Ia membabitkan Akademi Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Selatan yang menempatkan 46 individu, Pusat Kegiatan Guru di Kulai (14), Kolej Yayasan Pelajaran Johor di Kota Tinggi (28), Pusat Latihan JAKOA di Kluang (lapan), Kompleks Rakan Muda, Sukan Air dan Udara (62), Hotel Seri Malaysia di Mersing (lapan) dan 23 di Pangsapuri Awam Perwira, Kampung Parit Sempadan Laut, Parit Raja, Batu Pahat.

Selain itu, 56 individu ditempatkan di Kolej Vokasional Tanjung Piai di Pontian, Pusat Latihan dan Rekreasi FELCRA Tebing Tinggi di Segamat (40), Pusat Kegiatan Kemas Sagil di Tangkak (empat) dan 189 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mahalah, Pagoh, Muar.

Beberapa hotel di Johor Bahru juga dijadikan pusat kuarantin dengan 263 ditempatkan di DoubleTree by Hilton, Swiss Inn Hotel (138), Crystal Crown Hotel (175), GoodHope Hotel (150), New York Hotel (147) dan 105 di V8 Hotel Skudai.

Sementara itu, Vidyananthan berkata,

197 rakyat Malaysia yang sebelum ini ditempatkan di dua pusat kuarantin termasuk di Institut Pengajian Tinggi Islam Johor (MARSAH) sudah dipindahkan ke stesen kuarantin termasuk hotel yang sudah diwartakan kerajaan.

“Oleh itu, dakwaan yang tular dalam media sosial berkaitan keadaan dua pusat kuarantin yang disediakan oleh kerajaan berada dalam keadaan tidak memuaskan kelmarin, sudah tidak menjadi isu lagi kerana kesemuanya sudah dipindahkan ke lokasi lebih selesa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19