14 peniaga dikompaun

SERAMAI 14 peniaga kedai runcit di seluruh negara dikenakan tindakan kerana menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum dan gagal mempamerkan tanda harga.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, tindakan itu diambil sejak Selasa lalu sehingga semalam.

“Sejak Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dilancarkan, Pahang merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak enam kes diikuti oleh Johor yang merekodkan empat kes.

“Selain itu, Perak merekodkan dua kes dan Kedah serta Kuala Lumpur masing-masing dengan satu kes,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Iskandar berkata, 10 daripada kesalahan yang dilakukan adalah kerana tidak mempamerkan tanda harga pada barangan jualan.

“Manakala empat lagi dikenakan tindakan kerana menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum ditetapkan.

“Pada tahun ini sebanyak 35 barangan ditetapkan harga terkawal membabitkan sayur-sayuran dan barangan basah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga melakukan 11,017 pemeriksaan di pusat borong dan kedai runcit di seluruh negara sejak Selasa lalu.

“Semua peniaga diminta memastikan barangan harga terkawal dijual tidak melebihi harga maksimum, meletakkan tanda harga khas merah jambu bagi membezakan barangan terkawal dan memastikan bekalan mencukupi di pasaran.

“Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan peniaga dikenakan tindakan dan kompaun mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.