10 Exco Kedah selesai angkat sumpah

SERAMAI 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah selesai mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, lebih separuh Exco yang dilantik berpengalaman luas termasuk pernah berkhidmat di bawah kerajaan negeri terdahulu.

Katanya, barisan terbaharu itu turut mengetengahkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) wanita, berbanding dua sebelum ini bagi memastikan suara golongan itu terus didengari.

“Seramai enam EXCO terbabit pernah memegang portfolio sama dan ia menjadi kesinambungan serta kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam mentadbir Kedah.

“Dalam masa sama kita menghargai peranan wanita dan perjuangan kita untuk melantik 30 peratus pemimpin wanita tercapai hari ini,” katanya pada sidang media sejurus selesai majlis.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, formula pelantikan Exco ditentukan di peringkat pusat mengikut konsensus parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Beliau turut menafikan, berlaku tawaran jawatan Exco kepada Adun terutama membabitkan Adun Parti Pribumi Bersatu Malaysia bagi memperoleh sokongan membentuk kerajaan.

“Mereka ini memang Adun Bersatu, jadi tiada istilah mereka lompat parti, tiada tawaran dibuat di peringkat negeri.

“Seperti yang saya maklumkan formula ini ditentukan di peringkat pusat untuk dilaksanakan di Kedah, konsensus yang kita capai untuk membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Mesyuarat pertama Exco kerajaan negeri turut diadakan selepas selesai majlis pada tengah hari.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir hilang majoriti selepas 23 Adun menyatakan hilang kepercayaan ke atas beliau.

Berikutan itu, PN Kedah mula mengambil alih kerajaan negeri selepas Muhammad Sanusi mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar, Ahad lalu.

Komposisi DUN Kedah ketika ini menyaksikan PAS menguasai 15 kerusi, manakala PKR (lima), AMANAH (empat), BERSATU-Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), BERSATU-Tun Dr Mahathir Mohamad (dua), UMNO (dua) dan Bebas (dua).

Senarai Exco Kedah

1. Muhammad Sanusi Md Nor (Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Kewangan, Majlis Ekonomi Kedah dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri)

2. Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Inovasi)

3. Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Kesihatan dan Kerajaan Tempatan)

4. Azman Nasrudin (Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India)

5. Datuk Suraya Yaacob (Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga)

6. Datuk Siti Aishah Ghazali (Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Insan)

7. Halimaton Shaadiah Saad (Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan)

8. Wan Romani Wan Salim (Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna)

9. Datuk Najmi Ahmad (Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia)

10. Mohd Firdaus Ahmad (Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Usahawan dan Koperasi)

11. Dr Robert Ling Kui Ee (Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam)

Berita berkaitan

• Exco Kedah angkat sumpah esok

• Sanusi Menteri Kedah ke-14

• ‘Saya hilang kepercayaan majoriti Adun’ – Mukhriz

• Usah tangisi kejatuhan kerajaan PH Kedah

• Sanusi angkat sumpah jawatan MB Kedah petang ini

• Angkat sumpah MB Kedah baharu esok

• EXCO Kedah dijangka letak jawatan esok

• Mukhriz umum kedudukan esok