1 masjid setiap daerah Terengganu sahaja

SULTAN TERENGGANU, Sultan Mizan Zainal Abidin perkenan hanya satu masjid di setiap daerah dibenarkan mengadakan solat Jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19, di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda menjelaskan, Sultan Mizan turut berkenan solat Jumaat sepanjang tempoh PKPB di Terengganu bermula Jumaat depan.

Jelasnya, bilangan ahli jemaah yang akan melaksanakan solat jumaat juga ditetapkan tidak melebihi 40 orang.

“Pegawai agama daerah bertanggungjawab memastikan setiap jemaah perlu menjalani pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran jemaah dalam buku kehadiran.

“Individu berusia 60 tahun ke atas tidak dipertandingkan hadir menunaikan solat Jumaat dan pelaksanaan penjarakan sosial ketika solat ditetapkan pada jarak satu meter,” katanya melalui kenyataan berhubung kebenaran aktiviti di masjid dan surau di negeri ini, hari ini.

Osman menjelaskan, mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selsema selain mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah serta penyakit barah tidak dibenarkan hadir.

Jelasnya, pegawai agama daerah dan jawatankuasa masjid diminta hanya membenarkan individu yang memakai pelitup muka menunaikan solat Jumaat di masjid.

“Setiap individu yang bercadang menunaikan solat Jumaat di masjid perlu membawa sejadah sendiri selain diminta mengambil wuduk di rumah sebelum ke masjid.

“Jawatankuasa masjid juga diminta memastikan tiada kontak fizikal, terutama berjabat tangan sebelum dan selepas menunaikan solat,” katanya.

Osman juga menjelaskan, tiada sebarang perhimpunan diadakan selepas selesai solat Jumaat dan solat sunat tidak dibenarkan melainkan solat sunat Tahiyatul masjid.

“Imam juga diminta menumpukan kepada rukun ketika menyampaikan khutbah dan perlu memastikan selesai membaca dua khutbah dalam tempoh tujuh minit.

Ketika mengulas sembahyang lima waktu secara berjemaah di semua surau dan masjid, Osman menjelaskan hanya tiga orang sahaja terdiri daripada jawatankuasa dan pegawai masjid dibenarkan, tetapi perlu mematuhi syarat ditetapkan.

“Solat sunat Aidilfitri tidak dibenarkan sama sekali dilakukan di semua masjid dan surau,” katanya.

Sultan Mizan meminta rakyat bersabar dan memperbanyakkan berdoa, terutama pada hari terakhir ramadan supaya wabak Covid-19 berakhir.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan